LATAR BELAKANG REAKSI

Daerah Kerian merupakan daerah bersempadan dengan negeri Pulau Pinang di sebelah utara dan negeri Kedah di sebelah timur. Kedudukan daerah Kerian yang lebih dekat dengan kedua-dua negeri tersebut menyebabkan daerah ini sedikit terpencil daripada daerah-daerah utama dalam negeri Perak terutamanya dengan ibu negeri di Ipoh. Kebanyakan aktiviti radio amatur dan stesen repeater di Perak terletak di kawasan Lembah Kinta dan Taiping.

Namun begitu, bermula sekitar tahun 1980-an, terdapat beberapa individu yang mula menceburkan diri dalam komunikasi radio uji kaji dan jalur rakyat. Akhirnya mereka memilih untuk menduduki peperiksaan radio amatur dan seterusnya memiliki lesen sebagai pengendali radio amatur yang sah. Sekitar pertengahan 1990-an, Pak Rahim, 9W2AR (kini 9M2RR) iaitu salah seorang pengendali radio terawal di daerah Kerian mula melibatkan diri secara aktif bersama rakan-rakan pengendali radio yang lain dari negeri Pulau Pinang dan Kedah sehingga menubuhkan persatuan ASTRA pada 1997.

Bermula dengan persatuan tersebut, bilangan pengendali radio amatur di daerah Kerian mula meningkat dan berkembang. Antara pengendali radio amatur terawal yang berada di daerah sekitar Kerian pada masa itu antaranya ialah 9M2RR, 9M2SY, 9M2MM, 9W2MX, 9W2AK, 9W2IC, 9W2IH, 9W2PH, 9W2KK, 9W2BM, 9W2FI, 9W2JS, 9W2IA, 9W2PT dan ramai lagi. Pada tahun awal 2000-an, komuniti radio amatur di daerah Kerian terus berkembang sehinggalah pada tahun 2007, Pak Rahim 9M2RR yang memegang jawatan Presiden ASTRA ketika itu bersama rakan-rakan AJK dalam persatuan tersebut telah berjaya menganjurkan Majlis Ulang Tahun ASTRA Ke-10 secara besar-besaran di kediaman beliau di Tanjong Piandang, Perak selama tiga hari, iaitu dari 3 hingga 5 Ogos 2007.

Kediaman Pak Rahim tersebut juga telah dijenamakan sebagai Dataran 10, bersempena dengan nama majlis ulang tahun yang telah diadakan. Penganjuran majlis ulang tahun dan kewujudan Dataran 10 tersebut telah menarik minat ramai masyakarat tempatan untuk menyertai radio amatur sehinggalah wujudnya Komuniti Radio Amatur Daerah Kerian sekitar tahun 2008 hingga 2009. Pada ketika itu, kelas RAE telah diadakan dengan kerap di Dataran 10 pada sekitar bulan Jun dan Disember bagi melatih dan memberikan persediaan kepada calon RAE. Selain itu, aktiviti perjumpaan Eyeball juga diadakan hampir setiap bulan di situ bagi membolehkan komuniti radio amatur berkumpul dan lebih mengenali antara satu sama lain. Sekitar tahun 2010, bilangan tidak rasmi pengendali radio amatur di daerah Kerian telah melebihi 50 orang. 

Bagi meneruskan kelangsungan aktiviti radio amatur seperti mana yang telah dijalankan pada tahun-tahun sebelumnya, maka Kelab Peminat Radio Amatur dan Rekreasi Kerian, Perak (REAKSI) telah ditubuhkan secara rasmi dan didaftarkan di bawah JPPM/ROS pada tahun 2014. Keahlian REAKSI dibuka kepada mana-mana individu yang menetap di Kerian khususnya bagi mereka yang memiliki Penguntukan Radas Radio Amatur (ASAA) daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Dengan pendaftaran REAKSI secara sah melalui JPPM/ROS, maka REAKSI dapat meneruskan usaha mewujudkan stesen rumah kelab yang menggunakan callsign 9M4CRX. Rumah kelab ini ditempatkan secara sementara di kediaman Pak Rahim 9M2RR dan kini ia dikenali sebagai Dataran REAKSI. Seterusnya, pelbagai lagi aktiviti lain turut diceburi oleh REAKSI antaranya kerjasama menaikkan Belon Altitud Tinggi (HAB) bersama dengan USM, Beaches on the Air (BOTA), Jamboree on the Air (JOTA), Kontes, CQ Merdeka dan banyak lagi.

REAKSI mengalami proses pengembangan dari tahun ke tahun di mana organisasi ini tidak hanya tertumpu kepada pengurusan hal ehwal radio amatur di Kerian sahaja malah turut memainkan peranan sebagai sebuah entiti perniagaan dan penyelidikan yang menjalankan kegiatan ekonomi khusus dalam bidang kejuruteraan dan komunikasi. Kegiatan ekonomi ini dijalankan bagi meneruskan kelangsungan operasi dan menjana sumber kewangan tambahan kepada kelab. Kini, REAKSI telah mencapai usia menghampiri 10 tahun. Sepanjang tempoh tersebut, REAKSI telah melakukan pelbagai inovasi dan pengeluaran reka bentuk termasuklah antenna, aksesori radio, komunikasi digital dan bermacam lagi.