aksesori RADIO DAN ANTENNA

Selain daripada mempunyai peralatan radio dan antenna yang baik, aksesori-aksesori tambahan turut memainkan peranan penting bagi memastikan pengedalian radio di stesen masing-masing menjadi lebih lancar. Dalam keadaan tertentu, pengendali radio amatur memerlukan aksesori bagi membuat pengujian peralatan dan antenna. Dalam keadaan lain, antenna yang digunakan mungkin memerlukan penukaran jenis talian penghantaan dan galangan bagi disuaikan dengan peralatan radio.

1:1 VOLTAGE BALUN

Bagi operasi frekuensi tinggi (HF), antenna dwikutub merupakan salah satu antenna yang mudah dihasilkan. Pembuat antenna hanya perlu mengetahui frekuensi talaan, panjang wayar yang diperlukan dan akhirnya siap satu antenna. Namun, ramai yang terlepas pandang dengan satu aksesori penting yang perlu disambungkan kepada antenna tersebut. Ia tak lain dan tak bukan ialah alat Seimbang-Tak Seimbang yang lebih dikenali sebagai "Balun". 

Kebanyakan radio yang ada pada hari ini dilengkapi dengan soket RF tidak seimbang dengan galangan 50 Ohm. Manakala antenna dwikutub pula merupakan antenna seimbang yang mempunyai galangan 40-80 Ohm bergantung kepada cara antenna dipasang dan ketinggiannya. Kegagalan memasang Balun pada antenna yang seimbang mungkin boleh menyebabkan gangguan kepada "shack" pengendali radio tersebut atau kepada kelengkapan rumah yang lain. Hal ini terjadi kerana terdapat pembalikan gelombang RF dari antenna melalui kabel Coax yang dikenali sebagai gangguan frekuensi radio (RFI).

SKEMATIK DAN BINAAN PRAKTIKAL

Bahagian-bahagian komponen bagi pembuatan aksesori ini boleh didapati di Shopee REAKSI. 

4:1 VOLTAGE BALUN

Selain Balun dengan nisbah 1:1 (50Ohm:50Ohm atau 75Ohm:75Ohm) yang digunakan secara meluas bagi menukarkan gelombang tidak seimbang kepada seimbang, terdapat variasi lain yang boleh dihasilkan iaitu jenis Balun 4:1. Selain daripada menukarkan gelombang tidak seimbang kepada seimbang, ia juga digunakan bagi menukarkan galangan naik daripada 50Ohm menjadi 200Ohm (atau 75Ohm menjadi 300Ohm).

Balun jenis 4:1 sesuai disambungkan kepada antenna seimbang yang mempunyai nilai galangan yang lebih tinggi seperti Dwikutub berlipat (Folded Dipole), Carolina Windom dan beberapa antenna lain. Binaan balun 4:1 adalah lebih mudah bebanding Balun 1:1 kerana hanya memerlukan dua wayar yang perlu dililitkan pada rod ferrite.

SKEMATIK DAN BINAAN PRAKTIKAL

Bahagian-bahagian komponen bagi pembuatan aksesori ini boleh didapati di Shopee REAKSI. 

T-MATCH QRP ANTENNA TUNER

Memiliki antenna dengan galangan yang sepadan dengan radio adalah matlamat yang ingin dicapai oleh semua pengendali radio. Dengan memiliki galangan yang sepadan, kuasa daripada radio dapat dihantar dan dilepaskan ke antenna secara maksimum tanpa ada pembalikan yang dikenali sebagai Voltage Standing Wave Ratio (VSWR). Namun secara pratikal dan kekangan tertentu, antenna tidak dapat memberikan nilai galangan yang sepadan dengan galangan radio menyebabkan nilai VSWR menjadi sangat tinggi. Kebanyakan radio boleh menerima ketidakpadanan galangan dengan nilai VSWR sehingga 2:1 (pengendali radio amatur meletakkan had 1.5:1).

Bagi mengatasi masalah galangan yang tidak sepadan ini, pengendali radio amatur perlu memasang satu aksesori yang dikenali sebagai penala antenna (antenna tuner). Tujuan pemasangan penala antenna ialah bagi memastikan VSWR yang diukur di radio adalah pada tahap minimum bagi mengelakkan kerosakan pada bahagian penguat kuasa RF di dalam radio akibat panas berlebihan kesan daripada VSWR yang tinggi. 

Dalam perkongsian ini, REAKSI menghasilkan penala antenna yang sesuai digunakan bagi operasi berkuasa rendah (QRP) kerana komponen-komponen kecil yang digunakan hanya mempunyai kadar ketahanan kuasa atau voltan yang rendah. Bagi mereka yang ingin menghasilkan penala antenna untuk kegunaan kuasa yang tinggi (QRO), mereka boleh menggunakan reka bentuk yang sama tetapi dengan menggunakan komponen yang lebih besar dan mahal.

SKEMATIK DAN BINAAN PRAKTIKAL

Bahagian-bahagian komponen bagi pembuatan aksesori ini boleh didapati di Shopee REAKSI. 

50-ohm dummy load

Antara aksesori penting yang perlu ada di "shack" pengendali radio amatur salah satunya ialah beban semu (dummy load). Beban semu sangat berguna ketika membuat pengujian pemancaran radio tanpa menyebabkan gangguan di frekuensi. Namun begitu, beban semu mempunyai kadar kuasa maksimum yang perlu diambil perhatian.

REAKSI menghasilkan beban semu yang diperbuat daripada 20 perintang logam oksida yang setiap satunya mampu menahan kuasa maksimum sehingga 3W. Secara asasnya ia mampu menahan sehingga 60W kuasa maksimum yang dipancarkan daripada radio. Jika ada mana-mana homebrewer yang ingin menambah baik versi sedia ada, mereka perlu menggantikan perintang sedia ada dengan jenis perintang yang mempunyai kadar ketahanan kuasa yang lebih tinggi. Namun, harus diingat bahawa tidak semua jenis perintang sesuai digunakan kerana terdapat beberapa jenis perintang mempunyai nilai aruhan yang tinggi dan tidak sesuai untuk aplikasi RF.

SKEMATIK DAN BINAAN PRAKTIKAL

Bahagian-bahagian komponen bagi pembuatan aksesori ini boleh didapati di Shopee REAKSI.