REPEATER REAKSI

REAKSI ketika ini mengawal selia tiga repeater analog FM 70cm iaitu 9M4RXA, 9M4RXB dan 9M4RXC. 9M4RXA dan 9M4RXB disambungkan bersama-sama dengan stesen gateway REAKSI, 9M4GRX melalui aplikasi Zello. Rangkaian ini boleh diakses di aplikasi Zello dengan menyertai laman "REAKSI Repeater". 9M4RXC pula ketika ini bertindak sebagai repeater tunggal yang membolehkan rakan-rakan pengendali radio amatur tempatan memaksimumkan penggunaan repeater tersebut dan bagi persediaan kecemasan.

9m4rxa - gunung bintang

Gunung Bintang merupakan gunung tertinggi di negeri kedah dan di kawasan utara semenanjung Malaysia dengan ketinggian sekitar 1862m dari aras laut. Puncak gunung ini menjadi sempadan kepada empat buah daerah dan dua buah negeri iaitu daerah Kulim dan Baling di Kedah manakala Selama dan Hulu Perak di Perak.

REAKSI telah melakukan beberapa kali ekspedisi bagi menempatkan dan menservis repeater berkuasa solar di atas gunung tersebut. Setiap ekspedisi pendakian ke puncak Gunung Bintang memerlukan masa sekurang-kurangnya selama dua hari dua malam.

Repeater Gunung Bintang merupakan salah satu lokasi paling strategik bagi penempatan repeater UHF kerana mampu memberikan liputan di kebanyakan kawasan pedalaman Kedah dan Perak terutamanya tempat yang tidak memiliki mana-mana liputan repeater yang lain.

9m4rxB - BUKIT LARUT

Bukit Larut merupakan bukit yang terletak di Taiping, Perak. Bukit ini merupakan kawasan peranginan pertama yang dibina di Malaysia sejak zaman kolonial British. Puncak Bukit Larut memiliki ketinggian sekitar 1336m dari aras laut. Ia menempatkan pelbagai stesen pemancar penyiaran dan telekomunikasi yang diuruskan oleh Telekom Malaysia.

REAKSI telah menempatkan satu repeater berkuasa solar berserta dengan struktur menara mini berketinggian 3m di puncak Bukit Larut. Bukit Larut merupakan salah satu lokasi strategik bagi penempatan repeater UHF kerana mempunyai liputan yang luas dari sepanjang pantai barat semenanjung Malaysia. Ia boleh diakses dari Sungai Petani di Kedah sehingga ke Klang di Selangor.

9m4rxc - bukit panchor

Bukit Panchor merupakan bukit yang terletak di sempadan antara negeri Pulau Pinang dan Kedah. Di negeri kedah, bukit ini kini dikenali sebagai Bukit Angin oleh penduduk tempatan. Bukit Panchor memiliki ketinggian sekitar 415m dari aras laut. Ia merupakan kawasan rekreasi terbaharu yang dibangunkan oleh penduduk tempatan. Antara aktiviti yang sering dijalankan di kawasan tersebut ialah pendakian dan perkhemahan.

REAKSI telah menempatkan satu repeater berkuasa solar berserta dengan struktur menara mini berketinggian 4.5m di puncak Bukit Panchor. Bukit Panchor merupakan tempat kajian dan penyelidikan bagi REAKSI. Liputan repeater UHF yang dipasang di puncak Bukit Panchor boleh menjangkau sehingga ke Alor Setar, Kedah dan Pantai Remis, Perak. Di kawasan pedalaman pula, ia boleh diakses dengan mudah dari Selama dan kawasan sekitarnya.