ANTENNA VHF/UHF DI RUMAH

Pemasangan tetap antenna di stesen pengkalan (base station) dan stesen mudah alih (portable station) sudah menjadi satu kemestian kepada pengendali radio amatur. Oleh itu, pemilihan antenna yang sesuai mengikut faktor-faktor tertentu mestilah dilakukan.

Antara faktor yang perlu diambil kira semasa pemasangan antenna ialah:

sj-2m 145mhZ sLIM JIM

Salah satu antenna yang mudah dibuat dan dipasang ialah antenna Slim Jim. Antenna ini direka oleh mendiang Fred Judd, G2BCX dan secara teorinya berkerja secara pengarahan omni (disebarkan ke semua arah) dengan kekuatan sekitar 3.5dBi. REAKSI turut mengeluarkan produk antenna ini dengan model "SJ-2M" yang direka bagi operasi di jalur 2m (145MHz).

Kelebihan antenna ini ialah rekaannya tanpa radial membuatkan ia sesuai dipasang di ruang yang sempit dan terhad. Selain itu, antenna ini tidak memerlukan sistem pemadanan galangan (impedance matching) yang kompleks. Ia boleh disambung terus ke talian coax atau sebaiknya membuat beberapa gulung pencekik RF berdekatan dengan titik sambungan.

Pelbagai sumber rujukan berkaitan antenna ini wujud di internet dan salah satunya ialah daripada M0UKD. Kalkulator yang beliau sediakan boleh dijadikan rujukan namun individu perlu mengambil kira sendiri saiz tiub antenna yang ingin dibuat. Berikut merupakan reka bentuk yang disediakan oleh Sofi, 9M2SAR dan pembuatan praktikal oleh Din, 9W2LDB.

SPESIFIKASI TEKNIKAL

UKURAN DAN BINAAN PRAKTIKAL

Bahagian-bahagian cetakan 3D bagi pembuatan antenna ini boleh didapati di Shopee REAKSI. 

QUARTER-WAVE GROUND PLANE

Antenna suku gelombang atau singkatnya disebut QWGP merupakan salah satu antenna yang mudah untuk dibuat oleh mana-mana operator radio amatur dalam masa yang sama masih memberikan prestasi yang baik. Dalam artikel ini dilampirkan binaan antenna QWGP bagi frekuensi 433MHz yang dibuat oleh Sofi, 9M2SAR.

Antenna ini boleh diskalakan kepada mana-mana frekuensi mengikut formula asas seperti mana yang telah ditetapkan iaitu Lambda/4 = 68.9/Frekuensi . Kebiasaannya antenna ini dibuat berserta radial sekurang-kurangnya 3 batang atau 4 batang. Radial dicondongkan ke bawah kira-kira 45 darjah dari satah melintang. Panjang radial dikira dari titik tengah antenna hingga ke hujung elemen radial tersebut.

Antenna ini lebih mudah dihasilkan bagi jalur UHF dan ke atas. Elemen yang diperbuat daripada bahan mudah dipateri seperti loyang atau tembaga boleh dilekatkan terus ke atas soket RF seperti BNC, SO-239 atau jenis N. Bagi jalur VHF dan ke bawah pula, penggunaan elemen yang panjang mungkin memerlukan rekaan sokongan mekanikal yang sedikit kompleks bagi memastikan ia tetap teguh di samping mengekalkan prestasinya.

SPESIFIKASI TEKNIKAL

UKURAN DAN BINAAN PRAKTIKAL

MG-v2 MOXON RECTANGLE

Bagi pengendali radio amatur yang memerlukan antenna  dengan keupayaan menerima atau memancar lebih kuat pada sudut tertentu sahaja, antenna Moxon Rectangle mungkin sesuai bagi kriteria tersebut. Antenna ini merupakan salah sebuah rekaan antenna yang mudah dan memiliki struktur mekanikal yang kukuh. Nama Moxon diambil daripada nama penciptanya iaitu Les Moxon (G6XN). REAKSI turut memasarkan antenna ini secara komersial dengan model bernama "MG-V2" yang beroperasi di jalur 2m.

Antenna ini merupakan varian kepada antenna Yagi 2 elemen. Namun, disebabkan hujung antenna Moxon ini dilipatkan, panjang antenna ini dapat dipendekkan dan hanya sekitar 70% sahaja daripada panjang antenna asal Yagi 2 elemen. Selain itu, faktor yang lebih penting ialah antenna ini tidak memerlukan penyuaian galangan (impedance matching) kerana antenna Moxon yang direka dengan baik dapat bekerja pada galangan hampir kepada 50 Ohm.

Terdapat pelbagai perisian atau aplikasi kalkulator percuma bagi antenna ini. Antara kalkulator yang boleh digunakan ialah http://tippete.net/cgi-bin/moxgen.pl. Pembuat antenna ini hanya perlu menyatakan frekuensi dan diameter elemen antenna yang ingin digunakan. Binaan di bawah merupakan contoh binaan Moxon daripada Sofi, 9M2SAR bagi frekuensi 144.500MHz, iaitu untuk kegunaan mudah alih dalam sukan "Fox Hunt". Tetapi antenna ini juga boleh diubah suai dijadikan antenna di rumah dengan menukarkan pemegang tangan dengan braket yang bersesuaian.

SPESIFIKASI TEKNIKAL

UKURAN DAN BINAAN PRAKTIKAL

Bahagian-bahagian cetakan 3D bagi pembuatan antenna ini boleh didapati di Shopee REAKSI. 

EDZ-70 EXTENDED DOUBLE ZEPP

Extended Double Zepp antenna merupakan antenna yang disambungkan di tengah-tengahnya seperti antenna dwi-kutub (dipole). Namun begitu, antenna ini tidak resonan dan sepadan dengan 50 Ohm secara semula jadi kerana panjang bagi satu sisi elemen adalah hampir dengan 5/8 Lambda berbanding sisi dwi-kutub yang mempunyai panjang elemen kira-kira 1/4 Lambda sahaja.

Disebabkan oleh itu, antenna ini memerlukan pemadanan galangan (impedance matching) bagi membolehkan antenna tersebut disuaikan hampir kepada sistem 50 ohm. Oleh itu, satu penyuai jenis "stub" digunakan dan disambungkan secara berserenjang atau 90 darjah antara satu sama lain.

Namun begitu, antenna ini mungkin mengalami masalah dari segi pemadanan galangan atau menyebabkan gangguan RF yang serius kepada "shack" pengendali radio amatur jika talian coax yang disambung diletakkan dekat dengan elemen antenna. Oleh itu, antenna ini lebih sesuai dilekapkan dari sisi, berbeza daripada kebanyakan antenna tegak yang dilekap dari bawah.

Dengan dua elemen dengan panjang keseluruhan menghampiri 5/4 Lambda, secara teorinya antenna ini memberikan kekuatan isyarat yang lebih tinggi berbanding antenna dwi-kutub iaitu secara kasarnya sekitar 5dBi.

SPESIFIKASI TEKNIKAL

UKURAN DAN BINAAN PRAKTIKAL

Bahagian-bahagian cetakan 3D bagi pembuatan antenna ini boleh didapati di Shopee REAKSI. 

yg-vu45 yagi 2m/70CM (BASE)

Memasang antenna dengan kekuatan dBi yang tinggi merupakan matlamat semua pengendali radio amatur. Namun begitu, antenna tidak menggandakan kekuatan isyarat sebaliknya hanya mengubah corak radiasi dengan memfokuskan tenaga atau kuasa RF ke arah tertentu.

Oleh itu, kebiasaannya antenna yang mempunyai pengarahan ke sudut tertentu mempunyai kadar kelebihan dB yang lebih tinggi berbanding antenna yang direka bentuk bagi pengarahan omni. Sebagai contoh ialah antenna Yagi. Yagi bekerja dengan baik pada arah tertentu dan menghalang isyarat dari arah yang lain.

Kebiasaannya antenna Yagi adalah jenis antenna jalur mono di mana ia hanya bekerja dengan baik bagi satu julat frekuensi sahaja. Namun, dengan menggunakan teknik lengan terbuka (open sleeve), antenna Yagi tersebut boleh direka untuk bekerja pada jalur yang berbeza dengan hanya satu titik sambungan.

Idea asal antenna ini diambil daripada Martin, DK7ZB di mana beliau berjaya menghasilkan antenna Yagi yang bekerja di frekuensi 144 dan 432MHz. Sofi, 9M2SAR telah mereka bentuk semula antenna ini bagi membolehkan ia beroperasi di titik tengah 145.500 dan 433.500MHz, iaitu "Calling Channel" bagi mod FM di Malaysia.

SPESIFIKASI TEKNIKAL

UKURAN DAN BINAAN PRAKTIKAL

Bahagian-bahagian cetakan 3D bagi pembuatan antenna ini boleh didapati di Shopee REAKSI. 

yg-U03 yagi 70CM (BASE)

Bagi mereka yang tinggal di kawasan yang agak padat dan terhad daripada memasang antenna yang besar dan tinggi, mereka boleh cuba meneroka jalur UHF 70cm iaitu dari 430MHz hingga 440MHz. Peningkatan stesen-stesen pengulang UHF 70cm di Malaysia telah membantu pengendali radio yang berada dalam situasi yang sukar untuk terus berhubung dengan rakan radio amatur yang lain walaupun dengan penyediaan alatan dan aksesori yang terhad.

Bagi meningkatkan kualiti penerimaan dan pemancaran ke pengulang UHF, mereka boleh menyediakan satu antenna Yagi yang ringkas seperti YG-U03 yang hanya memiliki panjang maksimum 30cm. Ukuran di bawah merupakan contoh antenna yang dibuat oleh Sofi, 9M2SAR dan ditala ke frekuensi "Uplink" stesen pengulang, iaitu sekitar 434MHz.

SPESIFIKASI TEKNIKAL

UKURAN DAN BINAAN PRAKTIKAL

Bahagian-bahagian cetakan 3D bagi pembuatan antenna ini boleh didapati di Shopee REAKSI.